K.A.M.I In The Group 01.12.1993_Amir-Depan 03.03.1993_Hafiz-Tengah 23.11.1993_Anas-Belakang All About Us. |
Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum :)
Saturday, March 16, 2013
K.A.M.I In The Group
Friday, March 15, 2013
'Urf
PENDAHULUAN
‘Urf
merupakan salah satu sumber penting untuk mengeluarkan hukum syarak walaupun
ada di kalangan para ulama yang tidak mengiktirafkannya sebagai salah satu
sumber yang muktabar. Namun begitu, para ulama yang mengiktirafkannya melihat
ia sebagai salah satu sumber yang amat penting terutama dalam permasalahan yang
berkaitan dengan hubungan antara sesama makhluk dan dalam beberapa aspek lain
juga tidak dapat dinafikan kerana terdapat beberapa persoalan yang tidak dapat
di selesaikan walaupun dengan menggunakan sumber-sumber yang disepakati iaitu
al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas. Oleh itu, perbincangan yang telah
dikemukakan akan menjelaskan keadaan sebenar ‘urf sebagai salah satu sumber
perundangan yang tidak disepakati dan akan diterangkan dalam perbincangan di
bawah dengan penjelasan yang secukupnya.
PENGENALAN ‘URF DAN ADAT
Pengertian
‘Urf:
Definisi
‘urf dari segi bahasa:
Takrif
‘urf dari sudut bahasa arab ialah ma'rifah (pengetahuan) sepertimana maksudnya
disesuaikan kepada sesuatu yang ma'ruf (perbuatan baik) dan sikap yang
dianggap baik oleh akal yang cerdas.(Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2005: 181)
Al-Quran telah menggunakan al-‘urf dengan pengertian sesuatu yang ma’ruf
seperti firman Allah swt:
خذ العفو وأمر بالعرف وأعرض عن الجاهلين
Maksudnya:
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan,
dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan)
orang-orang yang jahil (yang degil dengan
kejahilannya).” (al-Quran, al-A’raaf, 7:199)
Definisi ‘urf dari segi istilah syarak:
Para
ulama mempunyai pelbagai takrif (maksud) mengenai ‘urf dari segi istilah,
antara takrif tersebut ialah seperti yang dinukil oleh Haji Muhammad Saleh B.
Haji Ahmad dalam kitabnya daripada kitab ulama-ulama yang terkenal antaranya
ialah:
Mengikut
Abu Sunnah, ‘urf adalah “setiap yang tetap dalam diri dari sudut pandangan
akal dan diterima oleh tabiat yang baik”. Jurjani pula mentakrifkan ‘uruf
sebagai “setiap yang tetap dalam diri dengan disaksikan oleh akal dan diterima
oleh tabiat yang baik.” Dan Sayyid Salih Awad mentakrifkan ‘urf itu sebagai
“setiap yang tetap dalam diri, dipandang elok oleh akal, diterima oleh tabiat
yang baik dan sentiasa dilakukan oleh manusia serta tidak ditolak oleh syarak”.
Menurut Mustafa Ahmad al-Zarqa’, ‘urf itu dianggap sebagai adat orang ramai
atau majoriti sesuatu kaum pada perkataan atau amalan.(Muhammad Saleh B. Haji
Ahmad 2005: 63). Abdul Karim Zaidan mentakrifkan ‘urf sebagai “setiap
(perkataan dan perbuatan) yang biasa dalam masyarakat akan menjadi adat serta
menjadi ikutan dalam kehidupan.” (Abdul Karim Zaidan 2004: 201). ’Uruf juga
ditakrifkan sebagai perkara yang tetap di dalam diri manusia dari segi akal
fikiran dan diterima baik oleh tabiat yang sejahtera.(Hasan B. Haji Ahmad ,
Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2002: 337)
Maka
bagi rumusan takrif (maksud) daripada pendapat para ulama, penulis / hal yang
dikemukakan dan pendapat yang dikeluarkan oleh Imam al-Ghazali yang dinukil
oleh Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad dalam kitab beliau iaitu “sesuatu yang
telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran dan diterima oleh
tabiat sejahtera. Atau juga ’urf itu sesuatu yang menjadi tabiat manusia yang
mempunyai tabiat-tabiat yang sejahtera lahir dari penghuni sesebuah negeri
Islam dengan syarat ia tidak berlawanan dengan syarak”.(Muhammad Saleh B. Haji
Ahmad 2005: 183)
Pengertian Adat:
Definisi Adat dari segi bahasa:
Adat
dari segi bahasa diambil dari perkataan (المعاودة أو العود)
dengan makna berulang kali. Ia merupakan nama kepada pengulangan perbuatan
berkali-kali sehingga menjadi mudah dilakukannya seperti suatu tabiat, justeru
dikatakan:
الأمر من المتكرر غير علاقة عقلية
Maksudnya:
“Perkara yang dilakukan berulang kali tanpa
mempunyai hubungan ‘aqliyyah.”
Penerangan
dari takrif (maksud) di atas bahawa adat pada istilah mempunyai suatu
pengertian yang lebih umum berbanding ’urf kerana ia mempunyai suatu
pengertian yang syumul dan luas aspek pengertiannya termasuklah mencakupi adat
yang lahir dari faktor tabi’i, adat individu dan adat orang ramai.
Hubungan antara ‘urf dan adat
Dalam
merumuskan hubungan antara ‘urf dan adat penulis mengemukakan pendapat yang
dikeluarkan oleh Abdul Karim Zaidan dengan kata beliau: “‘Urf ialah sesuatu
yang telah menjadi kebiasaan kepada masyarakat dalam kehidupan harian, sama ada
perkataan mahupun perbuatan”. Maka ‘urf dan adat menurut pandangan fuqaha
memberi erti yang sama. Apabila mereka berkata “hukum ini sabit dengan adat dan
‘urf bukanlah bererti adat berlainan dengan ‘urf, bahkan kedua-duanya itu
satu ataupun membawa maksud yang sama saja. Sebutan kalimah adat itu bertujuan
untuk mengukuhkan sahaja.” (Abdul Karim Zaidan 2004: 201)
PEMBAHAGIAN ‘URF
‘Urf
terbahagi kepada tiga bahagian,iaitu:
i)
Dari aspek kandungan
ii)
Dari aspek pengertian
iii)
Dari aspek syarak
Pertama:
dari segi aspek kandungan - pembahagian ‘urf kepada perkataan atau lafaz dan
perbuatan atau amali.
‘Urf perkataan atau lafaz
‘Urf
ialah penggunaan sesuatu perkataan atau ayat di kalangan sesetengah masyarakat
yang berbeza dengan makna asal. Ia dapat difahami secara spontan tanpa
memerlukan perantaraan, penunjuk (qarinah) atau pengamatan.Jika sesuatu
perkataan atau ayat difahami dengan menggunakan penunjuk atau logik akal ia
adalah majaz (hiasan) bukannya ‘urf. ( Mohammad Zaini Bin Yahaya 1999: 10 )
Contoh
bagi majaz yang difahami dengan perantaraan penunjuk (qarinah) ialah seseorang
memberikan sesuatu kepada seseorang yang lain dengan berkata: “aku berikannya
dengan bayaran sekian”. Kita akan fahaminya sebagai akad jual beli bukannya
pemberian (hibah) dengan perantaraan perkataan bayaran sebagai penunjuk lafaz (qarinah
lafziyyah).
Contoh
bagi majaz yang difahami dengan perantaraan logik akal ialah jika seseorang
berkata “ mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas si fulan”. Kita akan
fahami bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman bukan mahkamah berdasarkan logik
akal.
Perkataan-perkataan
yang menjadi kebiasaan untuk maksud-maksud tertentu yang berbeza dengan maksud
asal perkataan-perkataan tersebut seperti perkataan “walad” (ولد) digunakan pada ‘urf untuk
kanak-kanak lelaki sahaja sedangkan maksud asalnya merangkumi lelaki dan
perempuan. Begitu juga dengan perkataan “al –Laham”(الحما)(daging) yang pada ‘urf
adalah semua jenis daging kecuali daging ikan. Sedangkan maksud asalnya
merangkumi semua jenis daging. ( Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007: 66 )
Jika
seseorang itu bersumpah tidak akan memakan daging, ia tidak kira melanggar sumpahnya
atau berdosa dengan memakan ikan. Ini kerana ‘urf merupakan perkataan yang
mana tidak melabelkan ikan sebagai daging.
Perkataan
‘urf terbahagi kepada dua bahagian. Jika penggunaan perkataan secara ‘urf itu
dari segi adat kebiasaan sesuatu tempat, ia dikenali sebagai hakikat ‘urf
(haqiqah urfiyyah). Sementara itu, jika penggunaanya dari segi syarak ia
dikenali dengan hakikat syarak (haqiqah syar’iyyah). Seumpamanya penggunaan perkataan
solat dan zakat merupakan ibadah iaitu melakukan perintah ALLAH S.W.T.
sebagaimana yang difahami di dalam realiti syarak sedangkan makna asal bagi
solat di dalam bahasa melayu ialah doa dan zakat ialah penyucian. (Mohammad
Zaini Bin Yahaya 1999: 10 )
‘Urf amali atau perbuatan
‘Urf
amali ialah perbuatan atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan manusia.
Perbuatan atau amalan tersebut sama ada dari segi kegiatan biasa atau kegiatan
kemasyarakatan. Maksud kegiatan biasa adalah kegiatan yang bersangkutan dengan
kehidupan biasa tanpa melibatkan akad dan hak seperti makan, minum, pakaian,dan
sebagainya. Maksud kegiatan kemasyarakatan pula ialah kegiatan yang
bersangkutan dengan akad dan hak seperti nikah, jual beli, rampasan, dan
lain-lain.
Contoh
’urf amali ialah dari segi kegiatan biasa ialah kebiasaan masyarakat Malaysia
menjadikan nasi sebagai makanan asasi. Contoh bagi ’urf amali dari segi urusan
kemasyarakatan ialah kebiasaan penjual di sesetengah tempat menghantar barangan
jualan yang berat ke kediaman pembeli dan kebiasaan masyarakat berjual beli
tanpa lafaz ijab dan qabul.
Perbuatan
yang menjadi kebiasaan di kalangan manusia seperti jual beli Mu’atah (معاطاة) (proses jual beli tanpa
ijab dan qabul), penggunaan tandas awam tanpa ditetapkan tempoh masa dan jumlah
air yang digunakan, istisna’ (استصناع)
(tempahan membuat barangan seperti kasut, pakaian, dan sebagainya), hidangan
makanan kepada tetamu merupakan keizinan untuk makan dan sebagainya. ( Nik
Salida Suhaila Nik Saleh 2007: 66)
Kedua
: dari aspek pengertiannya -pembahagian ‘urf kepada al-am (umum) dan
al-khas(khusus).
‘Urf am
Perbuatan
atau perkataan yang menjadi kebiasaan bagi seluruh penduduk semua negara Islam
sama ada ia baru atau lama, atau dengan kata lain ‘urf am ialah sesuatu
perkara yang sentiasa diamalkan oleh seluruh umat Islam.
Contoh
‘urf am ialah akad tempahan (akad al-istisna’) iaitu jual beli melalui
tempahan dengan mendahulukan bayaran cengkeram.Ia amat diperlukan oleh manusia
sejak sekian lama,begitu juga pada hari ini,kita tidak dapat lari dari muamalat
seumpama ini. Begitu juga dengan bayaran penggunaan tandas awam tanpa mengira
kadar air dan tempoh berada di dalamnya. Kedua-dua perkara tersebut telah
menjadi amalan biasa masyarakat antarabangsa sejak zaman berzaman. Ia tidak
dianggap bercanggah dengan prinsip dan sistem kehidupan masyarakat sejagat.
Contoh lain ialah seperti lafaz talak yang digunakan untuk perceraian oleh
seluruh umat Islam walaupun pada asalnya tidak bermaksud untuk tujuan tersebut
sahaja. ( Mohammad Zaini Bin Yahaya 1999: 12 )
‘Urf khas
‘Urf
khas ialah perkara-perkara yang menjadi kebiasaan sesebuah negara,masyarakat
atau kumpulan-kumpulan tertentu. Ia berbeza mengikut keadaan dan situasi yang
mempengaruhinya.
Contoh
‘urf khas ialah kebiasaan masyarakat Islam melayu tidak berkasut di dalam
rumah dan menganggap perbuatan memakai kasut di dalam rumah sebagai tingkah
laku yang kurang sopan.Contoh kedua ialah kebiasaan di sesetengah tempat
meletakkan tanggungjawab membayar bil ke atas pemilik rumah sewa bukannya
penyewa. Seperti ‘urf di Iraq yang membahagikan mas kahwin kepada tangguh dan
segera.
Perbezaan antara ‘urf am dan ‘urf khas
dari segi hukum syarak
1.
Pengertian hukum berdasarkan ‘urf am adalah lebih luas berbanding ‘urf khas.
2.
Hukum ‘urf am boleh mengkhususkan hukum berdasarkan nas syarak. Sementara
hukum ‘urf khas tidak dapat melakukannya mengikut pendapat yang terkuat di
dalam mazhab Hanafi.
Apabila
berlaku percanggahan antara ‘urf khas dan ‘urf am, hukum syarak adalah
berdasarkan ‘urf am jika ‘urf khas itu di kalangan kumpulan yang kecil.
Tetapi jika ‘urf khas di kalangan kumpulan yang ramai, maka hukum yang
dikhususkan kepada kumpulan tersebut sahaja kerana hukum ‘urf am tidak
didasarkan kepada ‘urf khas. . ( Mohammad Zaini Bin Yahaya 1999: 14 )
Merujuk
kepada pembahagian tersebut, ia telah diketahui dengan mengetepikan
perkara-perkara yang berulang-ulang dan menjadi kebiasaan di kalangan seseorang
individu. Ini adalah sebahagian dari ‘urf menurut penggunaannya yang luas.
Bahkan dari satu sudut ia juga mempunyai kedudukan dalam penetapan hukum Fiqh.
Contohnya untuk menentukan kadar nafkah yang diwajibkan ke atas seseorang
suami,ia hendaklah merujuk kepada ‘urf iaitu taraf hidup suami serta keperluan
keluarganya. ( Mohammad Zaini Bin Yahaya 1999: 14 )
Ketiga
: dari aspek syarak –pembahagian ‘uruf kepada sahih (betul) dan fasid (batal).
‘Urf sahih
‘Urf
sahih ialah perkara yang menjadi kebiasaan bagi manusia dan tidak bertentangan
dengan nas syarak, ijmak, maslahah, dan tidak membawa kepada
kemudaratan. ‘Urf sahih ini mungkin berdasarkan dalil syarak seperti kewajipan
suami memberi nafkah makanan dan pakaian kepada isteri mengikut kemampuan,
,(Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007: 64). Perkara ini disebut oleh Allah dalam
al-Quran:
والولدت يرضعن أولدهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم
الرضاعة وعلى المولود له رزقهن وكسوتهن بالمعروف
Maksudnya:
“ Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan
anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak
menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu mengikut cara yang sepatutnya.” ( al-Quran,al-Baqarah 1:233)
Contoh
‘urf sahih ialah jual beli tanpa lafaz ijab dan qabul ‘ kerana ia tidak
bercanggah dengan mana-mana nas al-Quran dan as-Sunnah. ‘Urf sahih juga
merangkumi banyak perkara yang merupakan ‘urf di zaman Jahiliyyah dan selepas
itu diakui oleh Islam seperti al-Diyah dan al-Salam.
Kemungkinan
juga ‘urf sahih tidak berdasarkan kepada dalil syarak tetapi ianya membawa
kepada kebaikan dan dapat menjauhi kemusnahan seperti ‘urf dalam pertunangan,
iaitu pihak lelaki menghadiahkan cincin, pakaian, dan sebagainya kepada pihak
perempuan dan ianya tidak dikira sebagai mahar ( mas kahwin).
‘Urf fasid
‘Urf
fasid ialah perkara yang menjadi kebiasaan bagi manusia tetapi
bertentangan dengan syarak atau sesuatu yang menghalalkan perkara yang haram
dan mengharamkan perkara yang halal. ‘Urf fasid juga termasuk didalam
setiap yang menyalahi syarak dan membawa kemudaratan kepada manusia serta tidak
mendatangkan apa-apa kebaikan seperti pinjaman yang berbentuk riba sama ada
daripada bank atau individu, permainan berbentuk perjudian, pelacuran, dan
sebagainya. Walaupun kegiatan-kegiatan ini telah menjadi lumrah dalam kalangan
sesetengah masyarakat tetapi ia adalah bercanggah dengan nas-nas al-Quran yang
jelas terbukti didalamnya.
Percanggahan
antara ‘urf dengan nas boleh berlaku dalam dua keadaan:
Keadaan
pertama: Percanggahan secara umum.
Apabila
berlaku percanggahan antara ‘uruf dengan kehendak nas qat’iyy, ‘urf ini
dikira terbatal. Ini berdasarkan kepada prinsip syarak yang mendahulukan nas atau
pun al-Quran sebagai sumber utama perundangan Islam. Namun jika hukum dari nas qat’iyy
berlandaskan ‘urf tertentu, ketika itu ‘urf dan nas tersebut diamalkan secara
bersama (توفيق).
Ini bermakna jika ‘urf tersebut sudah berubah maka ‘urf yang baru akan
mengubah ketetapan hukum tersebut. (Mohammad Zaini Bin Yahaya 1999: 17 )
Keadaan
kedua: Percanggahan secara khusus.
Apabila
percanggahan berlaku antara nas qat’iyy yang bersifat umum dengan ‘urf yang
bersifat khusus,hukum ‘urf tidak terbatal, sebaliknya ia berkuatkuasa dalam
pengertiannya yang khusus.Oleh itu, para ahli fiqh mengharuskan akad tempahan
walaupun ia kelihatan bercanggah dengan sebuah hadis baginda saw yang mafhumnya
berbunyi jangan menjual barang yang tiada disisi kamu.
Akad
tempahan telah dikecualikan dari umum hadis tadi memandangkan ia adalah ‘urf
yang sudah menjadi keperluan umum.Pengecualian ini tidak membatalkan hukum umum
hadis sebaliknya ia adalah satu langkah untuk menggunakan dalil nas dan ‘urf
sekaligus berdasarkan kaedah:
اعمال أولى الدل ليلين من الغا احدهما
Maksudnya:
“Menggunakan kedua-dua dalil sekaligus
adalah lebih baik dari membatalkan salah satu darinya.”
Penentuan
sesuatu ‘urf sama ada ia sahih atau fasid adalah berdasarkan pertimbangan dari
nas serta prinsip umum syarak. Ketiga-tiga jenis pembahagian lepas adalah
berdasarkan aspek yang berbeza.Kadangkala sesuatu ‘urf bersifat am, perkataan,
atau perbuatan dan sahih atau fasid dalam satu masa. Begitu juga keadaannya
jika ia bersifat khas. Akad tempahan umpamanya adalah ‘urf yang bersifat am,
perkataan serta sahih dan percampuran antara lelaki dan perempuan (bukan
mahram) di dalam sesuatu majlis keramaian dan perayaan ialah ‘urf yang
bersifat khas, perbuatan serta fasid.
KEHUJAHAN ‘URF
Apa
yang dimaksudkan dengan kehujahan ‘urf sebagai sumber ialah beramal dengannya.
‘Urf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan
hukum-hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat
berubah. (Abd Latif Muda 1997 :135)
Justeru,
mana-mana ‘urf yang bertentangan dengan nas atau hukum mestilah sama-sama kita
berusaha untuk menghapuskannya dan meninggalkannya. Firman Allah:
ولاتعاونوا على الاثم والعدون
Maksudnya: ”Dan janganlah kamu tolong-menolong pada
melakukan dosa(maksiat) dan pencerobohan....(al-Quran, al-Ma’idah 5;2)
Ulama
Hanafi dan Maliki menerima ’urf
sebagai hujah hukum. ’Urf yang betul dan tidak bertentangan dengan syarak
mestilah diambil kira dalam pembinaan hukum dan membuat keputusan.Oleh
itu,mujtahid dan kadi mestilah menilainya dalam membuat keputusan.Sebagai
contoh, syara’ mengambil kira dan menjaga adat kebiasaan orang Arab yang baik
serta tidak bertentangan dengan hukum seperti mewajibkan bayaran diyat
terhadap aqilah iaitu keluarga pembunuh.
Selain
itu,kebanyakan orang sekarang ini yang mengamalkan adat-adat perniagaan,sistem
kehakiman dan kemasyarakatan yang keperluan-keperluan mereka
menghendakinya,kerana matlamat disyariatkan hukum ialah memperbaiki keadaan
manusia, menegakkan keadilan diantara mereka dan menolak kesempitan daripada
mereka, maka jika sekiranya tidak diraikan di dalam mensyariatkan hukum yang
biasa dilakukan oleh orang ramai dan orang yang mempunyai akal yang waras dan
tabiat yang sejahtera, nescaya terjerumus mereka ke dalam kesempitan dan
jadilah syariat Islam bertentangan dengan matlamat yang dibinakan hukum ke
atasnya.( Hasan B.Haji Ahmad 2002: 345)
Oleh
itu, Islam memperakui banyak perkara yang telah menjadi kebiasaan orang-orang
Arab melakukannya sebelum Islam dengan menyusunnya untuk mereka, seperti jual
beli, gadai, sewa-menyewa, nikah dan sebagainya dan ia tidak menghapuskan
kecuali perkara memudaratkan atau merosakkan seperti riba, berjudi, membunuh
anak-anak perempuan dan mengikat perempuan daripada menerima pusaka.
Namun
begitu, mereka tidak sepakat mengenai kehujahan ’urf jika ia merupakan perkara
yang biasa dilakukan oleh orang ramai yang terdiri dari cara-cara mentadbirkan
perkataan dan khutbah yang selalu berlaku di kalangan mereka dan amalan-amalan
berkaitan dengan urusan muamalah yang selalu mereka lakukan yang mana tidak ada
dalil syara’ yang menghalang atau yang mengsabitkannya.
Tambahan
pula, ‛urf yang fasid dan bertentangan dengan syarak tidak boleh diikuti sama
sekali. Ulama, mujtahid serta kadi mestilah meninggalkannya dalam mengeluarkan
keputusan. Ini kerana ’uruf tersebut bertentangan dengan dalil syarak dan juga
menyebabakan terbatalnya hukum syarak.Sebagai contoh ialah amalan riba yang
berlaku dalam adat masyarakat jahilliyah terus diharamkan dalam syariat. (Abdul
Latif Muda 1997:138)
Bagi
Syafie dan Hanbali pula, meraka tidak menjadikan ‛urf ini sebagai hujah dalam
mengeluarkan suatu hukum. Selain itu,‛uruf tidak dianggap sebagai hujah jika ia
menyalahi dalil-dalil syarak dan hukumnya yang tetap dan tidak berubah dengan
sebab berlainan suasana dan adat-adat,kerana berhujah dengannya bererti
membelakangkan nas-nas syara’ yang qat’iyy dan mengikut hawa nafsu serta
membatalkan syariat-syariat kerana syariat tidak datang untuk memperakui
perkara-perkara yang mudarat dan rosak. Oleh yang demikian ‘urf diketepikan
dan mesti dihapuskan, kerana redha
dengannya bererti tolong-menolong melakukan perkara dosa dan permusuhan.( Hasan
B.Haji Ahmad 2002: 347)
SYARAT-SYARAT KEHUJAHAN ‘URF
Kehujahan
‘urf bukan secara mutlak bahkan ianya dikaitkan dengan syarat-syarat tertentu,
syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut :
1.
‘Urf mestilah “muttaridan”(مضطردا) dan
“ghaliban (غالبا)”.
Muttaridan
bermaksud kulliyyah iaitu bersifat menyeluruh dan dapat digunakan secara umum,
tersebar luas dan diketahui semua. Manakala “ghaliban” pula bermaksud majoriti
iaitu diamalkan oleh majoriti manusia. ( Nik Salida Suhaila Nik Saleh 2007: 71)
2.‘Urf
itu mestilah tidak bertentangan dengan nas syara’.
Iaitu
tidak bertentangan dengan nas yang sabit, dalil-dalil syara’ yang lain dan
kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh syara’. Jika ia bertentangan dengan
perkara tersebut, maka sudah tentu ‘uruf itu tertolak dan tidak digunakan dalam
syarak.
3.
‘Urf yang menjadi sandaran mestilah wujud semasa hukum dikeluarkan
melaluinya.
‘Urf
tersebut mestilah diamalkan secara meluas sama ada yang berbentuk perkataan
atau perbuatan semasa sesuatu hukum dikeluarkan melaluinya, jika sesuatu hukum
dikeluarkan melalui ‘urf yang sudah tidak diamalkan lagi maka hukum tersebut
tidak dianggap “muhakkamah”.
4.
Tidak ada sesuatu yang mengingkari ‘urf
‘Urf
mestilah bersih dari sebarang pembatalan yang jelas oleh kata-kata atau perbuatan.
Sebagai contoh, jika ‘uruf untuk bayaran di kedai tertentu adalah “taqsit”
(ansuran) maka ia akan terbatal sekiranya pihak pembeli menjelaskan untuk membayar
tunai. Begitu juga , contoh ‘urf bagi kos penghantaran barang adalah
tanggungan penjual, akan terbatal jika kedua-dua belah pihak bersetuju untuk
meletakkan kos tersebut kepada pembeli. Oleh itu, ulama’ telah menyebutkan:
ما
يثبت بالعرف بدون ذكر , لا يثبت اذا نص على خلافه
Maksudnya
: “Apa yang disabitkan dengan ‘urf tanpa
sebutan (tentangan), tidak akan tersabit jika ada kenyataan yang menentangnya.”
HUKUM BERAMAL DENGAN ‘URF ATAU ADAT
Ketika
kedatangan Islam, masyarakat Arab mempunyai berbagai-bagai adat resam, kemudian
ia memcari penyesuaian mana-mana adat yang sesuai dan selari dengan matlamat
dan prinsip Islam, seterusnya ditolak mana-mana adat yang bercanggah dengan
syariatnya. Kemudian dipinda atau diperbaiki beberapa ‘urf dan adat supaya
selaras dengan haluan dan matlamatnya.
Adapun
‘urf yang sahih, maka wajib diberi perhatian dalam perundangan dan kehakiman.
Seseorang mujtahid wajib mengambil kira ‘urf dalam proses pembinaan hukum.
Demikian juga seorang hakim mesti mengambil kira ‘urf dalam kehakimannya,
kerana sesuatu adat yang dikenali dan dihayati oleh masyarakat telah menjadi
sebahagian daripada keperluan mereka di samping ia selari dengan
kepentingan-kepentingan mereka. Justeru, selagi adat itu tidak bercanggah
dengan syarak, wajiblah diambil kira.Terdapat beberapa adat yang baik dari
kalangan orang Arab telah diberi perhatian oleh syarak dalam perundangan,
seperti kewajipan diyat ke atas ‘aqilah dan syarat kafalah
dalam perkahwinan. ( Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2005:191)
Sementara
‘urf fasid tidak boleh diambil kira kerana jelas percanggahannya dengan dalil
syara’ atau membatalkan hukum syarak. Kebiasaan bermuamalah riba atau melakukan
akad yang ada unsur-unsur penipuan tidak boleh mengharuskan akad muamalah
tersebut diteruskan. Kerana inilah dalam undang-undang ciptaan manusia, ‘urf
yang berlawanan dengan perlembagaan atau peraturan am tidak boleh diambilkira,
tetapi yang akan diberi perhatian dalam akad seperti ini adalah dari aspek
lain, yakni apakah akad ini dianggap sebahagian dari darurat atau keperluan
manusia dan jika 'urf dimansuhkan boleh menyebabkan kepincangan sistem
kehidupan mereka atau ditimpa kesulitan dan kesusahan. Lantaran itu, jika ‘urf itu sebahagian dari daruriyyat atau hajiyyat
mereka, maka ia diharuskan kerana darurat mengharuskan yang dilarang, sedangkan
hajat pula boleh disamakan dengan darurat dalam perkara ini. Sebaliknya, jika
‘urf itu bukan dari daruriyyat atau hajiyyat mereka, nescaya dihukumkan batal
‘urf itu dan tidak boleh diambilkira ‘urf yang berlaku. Dengan kata lain
bahawa hendaklah beramal dengan ’urf supaya dalam kalangan pengamalnya boleh
menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dan di dalam mengamalkan ‘urf adalah tidak membiarkan atau meninggalkan
amalan-amalan ‘urf di dalam satu masalah daripadanya atau tidak beramal
dengannya kerana ia akan menimbulkan konflik pada kebanyakan masalah-masalah yang timbul.(
Haji Hasan B. Haji Ahmad , Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2002: 342)
‘URF YANG BERCANGGAH DENGAN NAS
Walaupun
syarat beramal dengan ‘urf itu mestilah ia tidak bercanggah atau berlawanan
dengan nas yang telah dibincangkan, namun perlu diperincikan lagi perbahasannya
kerana dalil-dalil syarak itu adakalanya khas dan adakalanya am. Apabila
terdapat percanggahan ‘urf dengan dalil-dalil syara’, maka ia dibahagikan
kepada tiga bahagian iaitu :-
1.
‘Urf yang bercanggah dengan nas yang khas
Ditegaskan
oleh ulama bahawa :
كل
ما ورد الشرع بخلافه فهو غير معتبر
Maksudnya
: “Setiap ‘urf yang ada dalil syara’ yang
menyalahi hukumnya, maka ‘urf itu tidak akan diambil kira.”
Oleh
itu ‘urf yang jelas bercanggah dengan nas tidak mempunyai nilai pandangan pada
syara’, bahkan wajib dihapus dan dibasmi dan ini tidak terkecuali sama ada ‘urf
itu khas atau am, terjadi setelah turunnya dalil atau sebelumnya. Justeru, jika
‘urf yang digunakan bercanggah dengan nas bererti itu akan menafikan peranan
nas dalam pembinaan hukum. (Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2005: 192)
Namun
begitu, para fuqaha mengecualikan satu perkara iaitu apabila nas itu sendiri
ketika dikeluarkan atau ketika datangnya bersandarkan kepada ‘urf yang memang
sudah sedia ada dan di’illatkan kepadanya. Nas yang seperti ini
memperhatikan ‘urf atau adat istiadat masyarakat, oleh kerana itu hukumnya
akan bergantung kepada ‘urf dan akan berubah apabila ‘urf itu berubah.
Sebahagian fuqaha mengecualikan keadaan darurat yang sangat mendesak,
sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama:
ليس للفقيه أن يفتي أو يقضي بما جرى به العرف المخالف
لأصل من أصول الشريعة الا أن تدعو الى ما جرى به العرف المخالف ضرورة , فيكون
الحكم مبينا على مراعاة الضرورة , ويدخل في قبيل الرخصة التي يقررها الفقية على
جهة الأجتهاد
Maksudnya
: “Tidak harus bagi seorang faqih memberi
fatwa atau hukuman dengan sesuatu yang dikehendaki oleh ‘urf yang bercanggah
dengan dasar-dasar syariat Islam kecuali apabila ada sesuatu darurat yang
memerlukan hukum itu dibina berdasarkan darurat tersebut dan ia termasuk dalam
konsep rukhsah yang diakui oleh faqih atas dasar ijtihad.”
2.
‘Urf yang bercanggah
dengan nas yang am
‘Urf
yang bercanggah dengan nas syara’ yang am terbahagi dua bahagian :
a)
‘Urf yang telah sedia ada sebelum datangnya nas dan ia pula terbahagi kepada
dua jenis iaitu lafzi dan amali.
i-
‘Urf lafzi : para fuqaha sepakat mengambilnya sebagai asas penentuan hukum dan
diberikan kedudukan sebagai nas syara’ yang am di dalam batas maknanya yang
‘urf, sebagaimana kaedah mengatakan :
أن يحمل اللفظ على معناه الحقيقي ما لم تكون قرينة على
ارادة المجاز
Maksudnya
: “Hendaklah diberikan lafaz itu maknanya
yang hakiki, selama tidak ada qarinah atau petanda yang menghendaki makna
majazi.”
‘Urf
lafzi itu akan menjadi maknanya yang hakiki menurut ‘urfiyyah haqiqah (حقيقة عرفية) , sedangkan makna itu pula perlu
didahulukan dari makna segi bahasa seperti solat, puasa dan haji. Maka
lafaz-lafaz ini adalah dimaksudkan dengan makna dari segi ‘urf syara’,
walaupun ia bercanggah dengan makna dari segi bahasa.
ii-
Sementara ‘urf amali : para fuqaha berbeza pandapat, apakah ia boleh
mentakhsis nas yang am atau tidak? Sebahagian fuqaha berpendapat ‘urf amali am
boleh mentakhsiskan nas yang am iaitu dengan melaksanakan ‘urf pada tempat dan
melaksanakan nas pada amnya. Ini bukan bererti menghapuskan peranan nas itu,
tetapi melaksanakan ‘urf dan nas bersama, sebagaimana kaedah yang menegaskan :
اعمل النصين معا أولى من اهمال أحدهما
Maksudnya
: “Melaksanakan kedua-dua nas bersama
lebih baik daripada meninggalkan salah satu daripadanya.”
Contohnya
seperti hadis Rasulullah yang melarang seseorang untuk menjual sesuatu yang tidak
dimilikinya, maka nas ini adalah umum bagi semua jenis perniagaan. Namun
begitu, ada hadis Rasulullah juga membenarkan perniagaan al-salam iaitu menjual
sesuatu yang tidak dimiliki oleh penjual dengan cara membayar terlebih dahulu
sebelumnya adanya sesuatu itu. Amalan itu dibenarkan kerana adanya kemaslahatan
dan masyarakat memerlukannya, sedangkan perniagaan al-salam itu berdasarkan
kepada adat kebiasaan yang berlaku di Madinah. Maka ‘urf di sini mentakhsiskan
atau mengecualikan perniagaan al-salam daripada amnya yang terdapat pada nas,
bahkan dilaksanakan hukum nas yang am di samping hukum ‘urf yang khas.
Kepentingannya di sini bahawa ’urf juga termasuk dalam pemeliharaan masalih
mursalah. (KH. Masdar Helmy 1996: 152)
Adapun
‘urf yang khas apabila bercanggah dengan nas yang am, maka pendapat yang
terkuat bahawa ‘urf tersebut tidak boleh mentakhsiskan nas yang am. Kata
ulamak berkata :
هل يعتبر في بنأ الأحكام العرف العام أو مطلق العرف ولو
كان الأول المذهب خاصا؟
Maksudnya:
“Dalam pembinaan hukum apakah diambilkira
‘urf yang am, atau semata-mata ‘urf walaupun yang khas? Menurut mazhab
(pendapat yang rajah) ialah pendapat yang pertama.”
Dan
telah disebut oleh Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad pendapat Al-Imam al-Qarafi
dalam kitabnya bahawa ‘urf amali tidak boleh mentakhsiskan yang am.(Muhammad
Saleh B. Haji Ahmad 2005: 194)
b)
‘Urf yang terjadi setelah datangnya nas, iaitu para fuqaha mujtahidin
sependapat bahawa ‘urf tersebut tidak boleh mentakhsiskan nas yang am,
walaupun ‘urf itu am kerana ;‘urf yang terjadi setelah datangnya nas yang
menjelaskan hukum syarak dan telah pun dilaksanakan hukum tersebut. Apabila
datangnya ‘urf yang mentakhsiskan nas tersebut bererti menasakhkan hukum nas
itu sendiri, sedang ‘urf tidak boleh menasakhkan nas kerana di antara syarat
yang membolehkan ‘urf itu diamalkan ialah ‘urf itu wujud sebelum datangnya
nas kerana ‘urf lafzi yang sedia ada ketika datangnya nas sahaja boleh
menafsir dan menentukan kehendak syara’ daripada nasnya.
4.
‘Urf yang bercanggah dengan dalil-dalil ijtihad
Apabila
‘urf bercanggah dengan qiyas,istihsan, masalih mursalah, istihab
dan lain-lain dalil ijtihad, yang diambil kira ialah ‘urf. Sementara qiyas
dan seumpamanya, menurut jumhur fuqaha hendaklah ditinggalkan dan tidak boleh
dilaksanakan lagi. Dan ditegaskan oleh ulama:
فاذا تعارض العرف مع القياس , فتكاد تتفق كلمة الفقهأ على أن القياس يترك بالعرف, لأنه دليل الحاجة,
فهو أقوى من القياس , فيترجح عليه عند التعارض.
Maksudnya:
“Maka apabila bercanggah ‘urf dengan
qiyas , maka hampir sepakat pendapat para fuqaha bahawa qiyas itu ditinggalkan
dengan sebab adanya ‘uru, kerana ia adalah tanda keperluan masyarakat, maka ia
lebih kuat daripada qiyas dan diutamakan atasnya apabila ada percanggahan.”
Begitu
juga ada setengah ulama berkata:
وقد يترك القياس بالعرف ولهذا صح عقد الاستصنع
, لجريان الغرف به , وان كان قياس لا يصح لأنه عقد على معدوم.
Maksudnya
: “Dan kadang kala ditinggalkan qiyas
dengan sebab adnya ‘urf dan oleh kerana inilah sah akad istisna’ (kontrak
tempahan) kerana ‘urf telah mengamalkannya, walaupun menurut hukum qiyas tidak
sah, kerana ia merupakan akad ke atas sesuatu yang tidak wujud.” .
Apabila
‘urf itu didahulukan daripada qiyas, sedangkan qiyas itu bergantung kepada nas
syarak, iaitu asal yang diqiyaskan ke atasnya, maka mendahulukan ‘urf atas
istihsan dan masalih mursalah yang tidak bergantung kepada nas lebih aula.
‘URF DIRUJUK BAGI MENTAFSIRKAN NAS
Sudah
tidak dapat dinafikan lagi bahawa ‘urf merupakan tempat rujukan bagi
pelaksanaan beberapa hukum ke atas peristiwa dan masalah-masalah juz’iyyah.
Syariat Islam telah meninggalkan banyak perkara yang tidak ditentukan batas
sempadan secara jelas, bahkan sengaja membiarkannya kepada ‘urf untuk
menghukum, menentukan batas sempadan dan perinciannya. (KH. Masdar Helmy 1996:
152)
Justeru,
wujud satu kaedah fiqhiyyah yang diterima pakai oleh semua ulama iaitu “العادة محكمة” yang bermaksud adat yang am mahu pun khas
akan dijadikan rujukan atau hakam, bagi menentukan hukum syara’ khususnya
ketika berlaku perselisihan kerana ia juga merupakan asas pembinaan hukum-hukum
yang tidak dinaskan. Tetapi apabila ada nas maka wajib mengamalkan nas itu dan
tidak harus meninggalkan nas dengan mengamalkan adat.Contohnya :
Maksudnya
: “Kemudian, apabila mereka (hampir)
habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) Dengan cara Yang
baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan adakanlah dua orang saksi
Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan
hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah
semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran
kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang
bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala
perkara Yang menyusahkannya),” (al-Quran,al-Talaq 65:2)
Maka
‘adalah (keadilan) merupakan syarat untuk diterima kesaksian, sedangkan ‘adalah
menurut para fuqaha ialah suatu malakah (sifat atau bakat atau
perwatakan) yang mendorong seseorang menghayati sifat ketaqwaan dan memelihara
maruahnya. Oleh itu, apa sahaja yang boleh merosakkan maruah, ia dianggap akan
mencacatkan ‘adalah, sedangkan sesuatu dianggap boleh merosakkan maruah
adalah berbeza dengan sebab berbeza tempat dan keadaan. Contohnya seorang
lelaki mempunyai kedudukan tertentu, tidak memakai kopiah (songkok) dianggap
menjatuhkan maruah bagi sesetengah negeri atau tempat dan boleh mencacatkan
keadilan, sedangkan bagi negeri lain tidak memakai kopiah itu tidak merupakan
suatu keaiban dan kecacatan. Maka hukum syara’ di sini berbeza dengan sebab
perbezaan tersebut. Firman Allah :
Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun
genap Iaitu bagi orang Yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan
bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang
sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan
juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga
menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya
(suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah
(melakukannya). dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang
lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu
mahu beri itu Dengan cara yang patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta
ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu
lakukan.” (al-Quran,al-Baqarah 2:233)
Maksudnya : “Dan isteri-isteri Yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah pemberian
saguhati) Dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas
orang-orang yang taqwa.”(al-Quran, al-Baqarah, 2; 241)
PERANAN ‘URF DALAM PENETAPAN HUKUM FIQH
‘Urf
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah perkembangan fiqh. Ia telah
memainkan peranan yang penting dalam proses pembentukan hukum fiqh. Para ulama
fiqh telah menjadikannya salah satu sumber dalam menentukan keputusan ijtihad
mereka. Antara peranan yang dimainkan oleh ‘urf dalam bidang fiqh ialah :
1)
Sebagai Perantara Kepada Dalil-dalil Fiqh Sebahagian ulama seperti al-Qarafi
dan Ibn Abidin telah mengiktiraf ‘urf sebagai salah satu sumber dalam hukum
fiqh. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad ibn al-Hasan, ‘urf dijadikan dalil
keharusan akad al-mudharabah, akad al-istisna’, wakaf harta wasiat. Manakala,
menurut pendapat Imam Malik,’urf adalah sebagai dalil makruh khiyar syarat.
(Mohammad Zaini bin Yahya 1999: 57-58)
Sebahagian
ulama’ moden telah menolak ‘urf sebagai dalil yang tersendiri. Walaupun mereka
memandang tinggi terhadap ‘urf tetapi mereka hanya menganggapnya sebagai
perantara kepada dalil-dalil yang sebenar. Di sini,terdapat beberapa contoh
mereka menganggap ‘urf sebagai perantara kepada dalil fiqh iaitu a) Dalam contoh al-mudharabah mereka
berpendapat ‘urf bertindak sebagai perantara kepada hadith taqriri
iaitu hadis yang berbentuk pengakuan kerana mudharabah telah menjadi
amalan sejak dahulu lagi dan Nabi S.A.W tidak pernah melarangnya.
b)
Dalam contoh akad tempahan,’urf bertindak sebagai perantara kepada ijmak
sukuti iaitu persepakatan sebahagian para mujtahid terhadap sesuatu perkara
pada sesuatu zaman dan sebahagian mujtahid hanya mendiamkan diri setelah
mengetahuinya. Para mujtahid tidak pernah membantah dalam amalan ini.
c)
Dalam larangan Imam Malik terhadap khiyar syarat adalah berdasarkan kepada
amalan penduduk Madinah yang merupakan salah satu dalil menurut beliau.
2)
Sebagai Rujukan Kepada Hakim Dalam Membuat Keputusan Dalam bidang kehakiman
Islam, ‘urf menjadi rujukan hakim dan pengamal undang-undang dalam
melaksanakan hukuman. Sebahagian ulama telah melarang para hakim terikat dengan
mana-mana mazhab dan membelakangkan ‘urf dalam membuat keputusan mereka.
Terdapat dua aspek peranan ‘urf dalam bidang ini iaitu :
a)
Dari aspek keterangan atau pembuktian Setelah meneliti bukti yang dikemukakan
oleh pihak pendakwa dan tertuduh, hakim akan merujuk kepada ‘uruf untuk membuat
keputusan. Contohnya dalam kes kecurian,untuk menentukan hirz sesuatu
barang curi itu hendaklah merujuk kepada ‘urf kerana hirz sesuatu
barang itu berbeza dengan barang yang lain mengikut perbezaan ‘urf.
b)
Dari aspek hukuman : Hukuman takzir tidak ditentukan secara terperinci dalam
al-Quran dan Hadith tetapi diserahkan kepada hakim untuk menentukan bentuk
hukuman yang sesuai dengan tahap kesalahan dan mampu mencegahnya menurut ‘urf.
3)
Sebagai Tafsiran Kepada Kehendak Seseorang. ‘Urf dapat membantu menjelaskan
maksud dan kehendak seseorang yang biasanya kehendak tersebut tidak dijelaskan
oleh seseorang kerana ia sudah diketahui berdasarkan ‘urf. Contohnya dalam
masalah jualbeli yang diwakilkan, penerima wakil hendaklah melakukan penjualan
atau pembelian mengikut kadar harga pasaran walaupun pewakil tidak menyebutnya
di dalam akad. Di sini menunjukkan pentingnya petunjuk daripada ulama’. (KH.
Masdar Helmy 1996: 150)
4)
Sebagai Pembantu Dalam Proses Tarjih yang dimaksudkan di sini ialah apa
yang diistilahkan oleh Yusuf al-Qardawi sebagai ijtihad intiqa’i iaitu
memilih salah satu pendapat para ulama’ terdahulu berdasarkan kelebihan
tertentu. Tarjih dalam bentuk ini hanya dibenarkan antara pendapat-pendapat
yang berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima dan hanya berbeza dari segi
kekuatannya sahaja. Salah satu dari pendapat tersebut dipilih berdasarkan ‘urf
semasa yang mengambil kira keperluan manusia. (Mohammad Zaini bin Yahya 1999:
65) Contohnya dalam karya Yusuf al-Qardawi di mana salah satu tarjih yang
dilakukannya ialah pemilihan beliau terhadap keharusan wanita bermusafir tanpa
ditemani suami atau muhrimnya jika tidak ditakuti apa-apa gangguan semasa
perjalanan,berdasarkan pendapat Ibn Hazm al-Zahiri. Walaupun pendapat Ibn Hazm
ini seperti bersalahan dengan pendapat majoriti, tetapi ia adalah keperluan
semasa dan ‘urf yang perlu dipelihara.
5)
Sebagai Penghurai Kepada Hukum-hukum Fiqh Yang Terkandung Dalam Nas. Terdapat
banyak hukum fiqh yang terkandung dalam nas dan hadith yang berdasarkan kepada
‘urf sebagai penghurai seperti dalm firman Allah s.w.t 4 Maksudnya: “Dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara
Yang sepatutnya.” ( al-Quran, al-Baqarah, 2:233 )
Para
ulama’ telah menyatakan ayat al-Quran di atas mengandungi hukum fiqh iaitu
kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri dan anak. Tetapi kadar, bentuk dan
lain-lain perkara yang berkaitan diserahkan kepada ‘urf yang menghuraikannya. Di
sini juga dijelaskan bahawa ‘urf sudah di kenal oleh manusia dan sudah semestinya
tidak berlawanan dengan kehendak syara’. (KH. Masdar Helmy 1996: 150)
PERUBAHAN HUKUM DENGAN SEBAB PERUBAHAN
MASA
Hukum
yang dikeluarkan oleh mujtahid akan berubah apabila ‘urf dan adat berubah.
Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata fuqaha: "لا ينكر الأحكام بتغير الأزمان" Di atas dasar inilah
berlakunya perubahan hukum. Imam Abu Hanifah dan sahabatnya sebagai contoh,
sering berselisih pendapat dalam beberapa hukum berdasarkan perbezaan ‘urf
masing-masing. Imam Syafi’e ketika berada di Mesir telah mengubah sebahagian
hukum atau fatwanya sewaktu berada di Baghdad kerana ‘urf di Mesir berbeza
dengan ‘uruf di Baghdad.
Antara
contoh perubahan hukum yang disebabkan oleh perubahan masa ialah yang berlaku
pada Imam Abu Hanifah dan zaman Abu Yusuf dan Muhammad dalam kes selain dari
hudud dan qisas iaitu, Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa zahirah(berpegang
pada keadilan segi zahir sahaja), sudah cukup bagi diterimanya sebagai saksi,
tetapi pada zaman Abu Yusuf dan Muhammad telah banyak pendustaan yang berlaku,
jadi mereka berpendapat mesti dilakukan taykiyyah al-syuhud demi melindung dari
keburukan yang menghilangkan hak-hak orang ramai. Para fuqaha’ menyatakan
bahawa khilaf tersebut hanyalah perbezaan masa dan waktu, bukan perbezaan
hujjah dan dalil. (Muhammad Saleh B. Haji Ahmad 2005: 201)
Larangan
mengambil upah mengajar al-Quran adalah fatwa yang dikeluarakan oleh para ulama
mutaqaddimin, tetapi setelah berlaku perubahan ‘uruf dan adat, maka para ulama
mutaakhirin memberi fatwa harus mengambil upah mengajar al-Quran agar pengajian
al-Quran tidak terhapus.
Dalam
Sahih Bukhari ada menyebutkan Baginda saw telah ditanya mengenai hukum unta
yang hilang, adakah mereka yang melihatnya boleh mengambil unta tersebut dengan
tujuan mewawarkannya dan akan dipulangkan kepada tuannya apabila ia datang
menuntutnya, yang kemudian ditegahnya oleh Baginda saw, hukum ini terpelihara
sehingga akhir pemerintahan Umar r.a. Namun begitu, pada zaman Uthman r.a dia
memerintahkan supaya dipungut unta yang hilang dan di jualkannya, apabila
tuannya datang menuntut, maka di bayar harga tersebut kepadanya, walaupun
arahan ini menyalahi fatwa yang dikeluarkan oleh Rasulullah saw pada zahirnya,
namun pada hakikatnya ia adalah satu keputusan yang bertepatan dengan tujuan
perintah Rasulullah saw dengan alasan bahawa masyarakat pada zaman itu telah
rosak akhlaknya dan memanjang kepada yang haram dan demi mengelak dari
menularnya kemudaratan ke atas masyarakat.
Perbezaan
pelaksanaan hukum-hukum kerana mengikut perbezaan ’urf dan adat bukanlah
perbezaan dalam tasyri’ tetapi perbezaan itu hanyalah dalam tatbiq
(pelaksanaan) sahaja, ini bukanlah bererti bahawa hukum Allah swt dalam satu
masalah itu berbilang-bilang atau berbagai-bagai tetapi maksud tatbiq
itu berbeza ialah kerana situasi, suasana, dan peristiwa yang berbeza. Dalam
dunia undang-undang hukum adalah satu sahaja, tapi pelaksanaannya berbeza dari
satu keadaan dengan keadaan yang lain, juga kerana perbezaan suasana, keadaan
dan peristiwa itu sendiri. Demikianlah dapat difahami dari pertukaran hukum
dengan bertukarnya masa dan perubahan fatwa dengan sebab perubahan masa dan
suasana.
BEBERAPA CONTOH ‘URF DAN ADAT DI
MALAYSIA
1)
Memakai kasut dalam masjid adalah satu penghinaan.
2)
Menempah pakaian atau alat perkakas rumah dan sebagainya adalah harus.
3)
Memberi nafkah kepada isteri dan anak dengan wang ringgit adalah harus.
4)
Mengambil upah atau makan gaji kerana mengajar al-Quran, ilmu-ilmu agama, fardu
ain atau fardu khifayah, menjadi imam masjid, muaazzin dan sebagainya adalah
harus.
5)
Kokokan ayam jantan yang telah sekian lama menjadi tanda masuknya waktu subuh.
6)
Makan sambil berjalan dikira aib dan menjatuhkan maruah. .(Muhammad Saleh B.
Haji Ahmad 2005: 194)
PENUTUP
Kesimpulannya,
‘urf dan adat tetap diambil kira dalam memberi fatwa dan penghakiman bagi
memelihara kepentingan atau maslahah, kerana sebahagian dari bentuk
maslahah-maslahah manusia hendaklah memperakukan sesetangah yang telah menjadi
kebiasaan dan adat mereka bertahun-tahun lamanya dan silih berganti generasi
demi generasi. Kebiasaan dan amalan sedemikian merupakan suatu kelakuan sosial
yang sukar untuk ditinggalkan. Oleh itu, pengiktirafan itu tidak mutlak, bahkan
terikat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan nas syara’ dan roh syariat
islam.
Dengan
kata lainnya, ‘urf merupakan salah satu sumber hukum yang amat penting,
kekuatannya dibuktikan oleh dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah dan ijmak, ‘urf
tidak boleh diguna pakai secara mutlak, bahkan terdapat syarat-syarat tertentu
yang mesti ada untuk menjadikannya sebagai sumber hukum. Dan sememangnya tidak
dapat dipertiakaikan lagi bahawa ‘urf juga telah bertindak sebagai salah satu
di antara hukum-hukum syariat yang diperundangkan untuk kepentingan seluruh
manusia seluruhnya dan menolak sebarang keburukkan yang menimpa mereka.
Rujukan
-Al-Quran
al-Karim
-Zaidan,Abd.
Karim. 1993,2004. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Kaherah:Dar al-Tauzi’ wa al-Nasyr
Islamiyyah
-http://mughits1550.blogspot.com
-http://usulfiqh1.blogspot.com
-http://usulfiqh2.blogspot.com
-http://aliimranzone.blogspot.com
-Muhammad
Saleh B. Haji Ahmad & Hassan bin Hj. Ahmad. 2002,2005. Usul Fiqh dan
Qawa’id Fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Hj. Abd. Majid.
-Saharia
Hj Ismail. 2012. Perbahasan Usul Fiqh: Satu Pengenalan Awal. Kolej Universiti
Islam Melaka(KUIM).
Subscribe to:
Posts (Atom)